Anwar: Kita tidak setuju dengan pengunaan Akta Hasutan #ms

Get Well Soon, Dato Seri Anwar Ibrahim | Din Merican: the Malaysian DJ  Blogger
Gambar: Malaysiakini, Lim Huey Teng

Oleh Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim

PKR tidak pernah berganjak daripada pendirian menolak Akta Hasutan 1948, kata presidennya Anwar Ibrahim, selepas dilihat menjarakkan diri daripada seorang ahli parti yang disiasat oleh polis minggu ini atas dakwaan menghina dan mempersenda Yang di-Pertuan Agong.

PKR sejak semalam dikritik hebat oleh sesetengah pihak selepas menjelaskan kenyataan Iswardy Morni yang didakwa menghina dan mempersenda Yang di-Pertuan Agong bukan mewakili pendirian parti.

Menurut Anwar, PKR sudah menasihati Iswardy pada April untuk menjaga tatasusila dan adab semasa membuat teguran kepada pemerintah.

“Kita tegur tetapi beliau teruskan, maka kita terpaksa beri amaran secara terbuka,” katanya di Port Dickson.

Tegas Anwar, sikap PKR itu tidak menghakis pendirian parti mengenai Akta Hasutan dan prinsip keadilan.

“Apakah saya setuju dengan tindakan Akta Hasutan? Saya tidak setuju. Secara prinsip kita tidak setuju (pihak berkuasa) guna Akta Hasutan.

“Apakah saya setuju beliau diberikan bantuan guaman? Saya setuju. Ini hak setiap rakyat dapat perlindungan guaman.

“Apakah tidak wajar beliau menegur? Itu hak setiap rakyat menegur terutama dalam keadaan sekarang, cuma ada kaedah dan ada kebijaksanaannya,” tambahnya.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam berkata perbuatan Iswardy tidak mewakili parti, malah biro politik parti sudah sejak April memberi amaran keras termasuk tindakan pecat kepadanya.

Menurut Fahmi, PKR menunggu siasatan polis sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Iswardy.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mencabar PKR mengambil tindakan tegas dan memecat Iswardy.

Iswardy adalah anggota biasa PKR cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam pimpinan negeri mahupun pusat.

Iswardy pada Jumaat membuat siaran langsung di laman YouTube miliknya mengupas keputusan Putrajaya mengenakan sekatan pergerakan penuh atau lockdown bagi mengekang penularan Covid-19.

Beliau mempertahan kenyataannya dan menegaskan ia bukan menghina Yang di-Pertuan Agong sebaliknya rayuan untuk baginda campur tangan setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan didakwanya gagal mengurus keadaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata perbuatan menghina atau mempersendakan Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab, dan boleh mengganggu ketenteraman awam. – 31 Mei, 2021.


*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Catatan ini pertama kali muncul di laman Facebook Anwar Ibrahim.