Apa yang PH sembunyikan selama ini? – Wan Saiful #ms

Maafkan kami Wan Saiful Wan Jan
Pic: Malaysia Dateline

Oleh Wan Saiful Wan Jan

WALAUPUN PH DAN YB SYED SADDIQ CUBA MEMPOLITIKKAN PENDAKWAAN, YANG LEBIH PENTING IALAH AKTA PENDANAAN POLITIK PERLU DISEGERAKAN

Dengan terburu-buru YB Syed Saddiq mendakwa bahawa pendakwaan terhadap beliau ialah satu pendakwaan terpilih. Kononnya dia diugut jika enggan sertai PN maka dia akan didakwa.

Saya bersimpati dan mendoakan agar YB Saddiq dapat menempuhi ujian ini dengan cekal. YB Saddiq seorang yang ada bakat. Jika betul dia diugut, maka segera laporkan kepada pihak polis supaya perkara jelek ini dapat dihapuskan. Jika tidak dapat dibuktikan dengan tuntas, maka YB Saddiq mesti menghentikan lakonan supaya segala simpati tidak hilang begitu sahaja.

Pakatan Harapan pula cuba menangguk di air yang keruh, mendakwa kononnya curiga kenapa pendakwaan baru dilakukan sekarang sedangkan kesalahan itu berlaku sebelum PRU14.

Saya nak tanya kembali kepada PH, kalau dah tahu kesalahan itu berlaku sebelum PRU14, kenapa semasa PH
memerintah YB Syed Saddiq tidak didakwa? Adakah berlaku “pengecualian terpilih” yang tidak dimaklumkan kepada kami yang turut berada dalam PH masa itu?

Kalau curiga, sebenarnya PH yang perlu jawab hal ini sebab curiga itu wujud di zaman PH. Bukan sekarang. Adakah ada apa-apa yang PH sembunyikan selama ini? Saya tengok peguam DAP begitu menonjol dalam mempertahankan kes ini.

Bagaimanapun, bagi saya ada isu yang lebih besar dalam pendakwaan ini. Iaitu isu peraturan-peraturan berkaitan pendanaan politik.

Saya gembira kerana pihak kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil langkah positif dalam memperkenalkan peraturan yang lebih berwibawa berkaitan pendanaan politik. Kerajaan Barisan Nasional dahulu tidak serius dalam mewujudkan peraturan tersebut. Saya pernah dilantik oleh kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Dato Sri Najib Razak. Tetapi entah apa berlaku kepada laporan yang kami sediakan.

Semasa era Pakatan Harapan saya dilantik semula menyertai Electoral Reform Committee (ERC) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ada laporan yang komprehensif yang telah disediakan. Alhamdulillah kerajaan Perikatan Nasional menerima laporan itu denga baik, dan ia telahpun dibawa ke kabinet. Saya lihat ada pergerakan yang positif sekarang.

Saya telah mungusulkan kepada rakan rakan dalam kabinet agar diputuskan dengan segera bagaimana untuk melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ERC, termasuklah dalam hal pendanaan politik.

Jika tidak diselesaikan segera, isu YB Saddiq mungkin menjadi lebih besar. YB Saddiq mungkin akan terus cekal, tetapi lebih baik kita tutup pintu-pintu kemudharatan akibat ketiadaan peraturan yang jelas.

Contohnya, selain daripada kes yang beliau hadapi, bagaimana dengan sumbangan yang YB Saddiq raih daripada masyarakat untuk kos peguam dan ikat jamin?

Para penderma sudah pasti ikhlas mahu membantu, dan YB Saddiq pun sudah nyatakan bahawa beliau akan menyediakan laporan audit. Tetapi adakah dana tersebut akan dikenakan cukai? Adakah dana itu perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu atau pendapatan syarikat, atau pendapatan apa? Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik?

Semua ini memerlukan kita ada satu akta yang jelas mengenai pendanaan aktiviti politik.


*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Catatan ini pertama kali muncul di laman Facebook Wan Saiful Wan Jan.