Chin Tong: Harap Zuraida kurangkan bermain politik #ms

Gambar: Free Malaysia Today

Oleh Liew Chin Tong

Kenyataan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong pada 12hb Mei 2021.

Saya hairan dengan tuduhan Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri bagi pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendakwa DAP sebagai “abang besar” kepada kaum Cina.

Dalam kenyataannya semalam, Zuraida mengatakan bahawa “Malaysia yang makmur adalah negara yang dikelola oleh pemimpin bersifat prihatin kepada seluruh warga tanpa batasan dan pengasingan kaum.” Sebenarnya inilah yang diperjuangkan oleh DAP. Mungkin Zuraida mudah lupa.

Sejak 2008, Zuraida selaku pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bersama berjuang dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan sehingga awal tahun 2020. Tentu beliau tahu perjuangan untuk semua kaum adalah prinsip perjuangan DAP sejak ditubuhkan pada tahun 1966.

Dengan ini, Zuraida sendiri yang terlibat dalam pengkhianatan Sheraton, kononnya kerana mahu menubuhkan sebuah Kerajaan Melayu, harus mencerminkan diri sendiri dan menghayati apa yang dikatakannya itu. Selepas 15 bulan Langkah Sheraton dibuat, sekarang lebih ramai pengundi Melayu berpandangan bahawa kerajaan sekarang adalah #kerajaangagal dan kerajaan yang mengamalkan diskriminasi “antara dua darjat” di antara golongan atasan dan golongan majoriti rakyat.

Yang jelas sekarang adalah tidak lagi parti dominan dalam politik Malaysia sejak pilihan raya umum ke-14. UMNO bukan lagi dan tidak akan lagi mampu kembali sebagai parti dominan. Jadi, UMNO dan semua parti politik harus menerima hakikat bahawa mereka perlu hadir bersama atau “co-exist” dengan parti-parti lain demi kestabilan negara dan kebaikan rakyat.

UMNO telah membakar sentimen kaum dan agama selepas tewas dalam PRU14 untuk menyusahkan permerintahan Pakatan Harapan dengan hasrat untuk menjatuhkannya di pertengahan penggal, kerana sedar ia tidak lagi mampu untuk menang di medan pilihan raya.

Dengan cara yang kotor itu, UMNO berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dengan kerjasama pengkhianat dalam parti pemerintah – termasuk Zuraida – melalui Langkah Sheraton. Namun, sekarang sudah jelas strategi ini makan diri UMNO sendiri. UMNO kini menjadi mangsa kerajaan Perikatan Nasional.

Parti yang Zuraida melompat masuk, iaitu Bersatu dengan bilangan kerusi yang kecil, ingin menjadi “abang besar” dengan mendominasi gabungan politik PN. Inilah yang menyebabkan kemarahan UMNO.

Sudah tiba masanya semua parti melupakan impian politik dominasi. Kita perlu menggunakan sistem parlimen untuk menjayakan demokrasi negara kita. Yang kalah tunggulah hingga PRU yang akan datang, yang menang janganlah terlampau gila kuasa.

Saya juga berharap agar Zuraida kurangkan bermain politik, dan sebaliknya tumpukan kepada usaha membantu dan mengurangkan beban rakyat dalam tempoh pandemik. Rakyat semakin marah dan kecewa dengan prestasi lemah kerajaan PN.


*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Catatan ini pertama kali muncul di laman Facebook Liew Chin Tong.