Najib: Saya sanggup sokong kerajaan PN #ms

Malaysiakini - Najib: Muhyiddin betrayed 3 PMs and the Agong, can we trust  him again?
Gambar: Malaysiakini, Mukhriz Hazim

Oleh Mohd Najib bin Abdul Razak

Saya sanggup sokong kerajaan PN sekiranya ada sesiapa boleh jelaskan kenapa kerajaan PN mengambil langkah-langkah berikut dan kenapa ianya bukan kesilapan amat besar yang terlalu jelas.

1. Bermula dengan bulan Jun 2020. Langkah tidak lagi memerlukan pelawat asing kuarantin di pusat kerajaan tetapi kuarantin kendiri di rumah. Lepas itu, kerajaan U-turn satu bulan kemudian tetapi terlambat sebab varian baharu berjaya masuk dan mencetuskan kluster Sivagangga pada bulan Julai dan Covid mengganas di negeri-negeri utara.

Inilah sebenarnya punca gelombang ini – bukan sekadar PRN Sabah yang berlangsung dua bulan kemudian.

2. Pada bulan Oktober 2020, langkah kerajaan hanya perlukan kurantin kendiri selama 3 hari sahaja bagi mereka yang pulang dari PRN Sabah. Lalu u-turn seminggu kemudian tetapi sudah terlambat.

3. Langkah kerajaan membenarkan rentas negeri dan pelancongan pada bulan Disember 2020 ketika kes baharu sebanyak 1,600 kes biarpun kerajaan sudah meminta darurat untuk kali pertama sebulan dahulu ketika kes cuma sekitar 500.

Akibat keputusan ini, kes naik ke 2,232 sebulan kemudian. Ini membuka jalan untuk kerajaan meminta darurat sekali lagi pada bulan Januari.

4. Langkah kerajaan tiba-tiba mengurangkan tempoh kuarantin bagi pelawat asing daripada 14 hari ke 7 hingga 10 hari pada bulan Disember lalu pada ketika seluruh dunia sedang ketatkan lagi proses kuarantin mereke sebab varian baharu sedang mengganas.

Paling malangnya ialah langkah ini hanya U-turn 5 bulan kemudian pada bulan April 2020.

Masa itu sudah terlambat sebab varian-varian UK, Afika Selatan dan India ataupun dikenali sebagai varian Delta sekarang sudah masuk ke negara.

5. Langkah kerajaan membuat PKP separuh masak pada PKP 2.0 di mana kilang dan tapak pembinaan merupakan penyumbang terbesar Covid ketika itu. Tapi semua sektor lain disekat kecuali sektor kilang dan tapak pembinaan.

Ini seumpama tangan kanan patah tetapi dibalutnya seluruh badan kecuali tangan kanan.

Dan diulangi lagi kesilapan ini bagi PKP 3.0, total lockdown, PKPD dan PPN. Diumum Total tapi dibenarkan 129,000 syarikat dan 1,100 tapak pembinaan seluruh negara terus beroperasi.

6. Pada bulan Februari 2021, Kerajaan umum sekolah dibuka semula pada bulan Mac ketika kes baharu lebih tinggi berbanding masa darurat bermula.

Biarpun kluster-kluster pendidikan semakin banyak setiap hari dan lebih 80,000 murid sudah dijangkit pada bulan April, kerajaan masih teruskan sekolah bersemuka termasuk di kawasan yang sudah dilaksanakan PKP.

Malah ibubapa disuruh jangan risau kononnya kerajaan ada caranya untuk mengawal kluster pendidikan.

Akibat ini, murid sekolah yang tidak bergejala dan sukar dikesan positif Covid membawa balik virus ke rumah masing-masing untuk menjangkit ahli keluarga.

Ahli keluarga pula menular virus ke komuniti sehinga Covid menjadi sporadik di mana-mana.

7. Kerajaan tunggu sehingga penggunaan kapasiti ICU cecah 103% sebelum mengumumkan total lockdown seminggu dahulu pada bulan Jun biarpun KP KKM dan beberapa menteri kerajaan sudahpun memberi amaran bahawa penggunaan ICU hospital sudah membimbangkan seawal bulan April.

Langkah yang lembab ini yang menyebabkan sistem hospital tidak mampu bertahan.

Paling menyedihkan ialah langkah-langkah tersebut adalah terlalu jelas merupakan satu kesilapan besar yang tidak masuk akal ketika ianya dilakukan – melainkan niat ialah untuk membiak Covid supaya ada alasan untuk meminta darurat dan tidak ditamatkan awal.

Setiap kali langkah-langkah di atas dilaksanakan, saya telah berulang-kali memberi amaran bahawa ianya akan membawa parah pada negara tetapi kerajaan tidak mahu dengar.

Ya, pandemik mengancam seluruh dunia tetapi Malaysia tidak jadi antara negara paling corot dalam dunia dari segi Covid dan ekonomi tanpa sebab.

Malaysia tidak menjadi satu-satunya sahaja negara dalam dunia di mana makin lama kita berkurung, makin tinggi Covid naik biarpun kerajaan sudah diberi kuasa penuh darurat selama 7 bulan.

Perlu ada seorang yang bertanggung jawab sebab kesilapan-kesilapan di atas adalah terlalu jelas serta tidak masuk akal dan kerosakan serta kehilangan nyawa yang di bawanya adalah terlalu besar.


*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Catatan ini pertama kali muncul di laman Facebook Najib Razak.