Saya amat kesal, saya rasa bersalah – Najib Razak #ms

Gambar: AFP, Manan Vatsyayana

Oleh Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Saya belum dapat masuk tidur setelah membaca berita bahawa 20 kluster Covid baru dikesan hari ini – 8 tempat kerja, 6 komuniti, 4 pendidikan dan 2 keagamaan.

Setahu saya, kita tak pernah rekod begitu banyak kluster dalam tempoh sehari.

Setakat ini terdapat 411 kluster aktif di mana 99 kluster melaporkan kes baru hari ini.

Saya tak dapat bayangkan bagaimana KKM dan penguatkuasa dapat mengawal begitu banyak kluster aktif.Dulu masa PKP 2.0 , bahagian besar kluster baru adalah dari kilang-kilang dan tapak pembinaan.

Tetapi hari ini, kluster adalah dari pelbagai tempat. Boleh dikatakan dari di mana-mana.

Saya amat kesal bahawa PKP 2.0 telah dilakukan secara separuh masak dan rantaian Covid tidak terputus seperti PKP 1.0 dahulu.

Malah, PKP 2.0 ditamatkan pada ketika kes baru lebih tinggi berbanding dengan masa ianya dimulakan sebab kerajaan dan rakyat tak boleh bertahan lagi sebab PKP 2.0 sudah dilaksanakan hampir 2 bulan masa itu.

Sebab sekolah dan pelbagai sektor kecuali parlimen dibuka semula pada ketika kes masih tinggi maka virus Covid dengan amat mudah menular mengikut kanak-kanak sekolah ke dalam komuniti, ke bazar, ke tempat kerja, ke kedai dan ke mana-mana.

Saya juga kesal bahawa kementerian pendidikan tak hentikan bahaya ini walaupun tiap-tiap hari kita baca kluster-kluster baru sektor pendidikan dilapor dan berpuluh sekolah diarah tutup sebab apa kes positif dikesan.

Saya juga bimbang bahawa penularan Covid sekarang adalah dari jenis varian baru lebih bahaya yang diimport dari luar negara apabila kerajaan pendekkan tempoh kuarantin dari 14 hari ke 7 hari pada bulan Disember lalu.

Pada saya, ini adalah satu langkah yang amat tidak bertanggungjawab dan derhaka pada Rakyat sebab risiko yang ditanggung oleh seluruh negara adalah amat besar dan tidak sepadan dengan kemudahan memendekkan tempoh kuarantin antara 4 hingga 7 hari yang diberi bagi mereka yang datang dari luar negara.

Saya amat kesal bahawa kerajaan PN tidak hirau saya walaupun saya membantah ini hampir tiap-tiap hari selama seminggu masa itu.Tempoh kuarantin ini hanya dinaikkan semula selepas 4 bulan tetapi sudah terlambat setelah beberapa varian sudah mula menular dalam komuniti tempatan.

Saya juga rasa bersalah bahawa kerajaan tidak hirau desakan-desakan saya untuk perketatkan PKP2.0 masa itu agar kita dapat memutuskan rantaian Covid dan akhirnya kita berdepan dengan PKP 3.0 dan mungkin PKP 4.0 atau PKP 5.0.

Rasa bersalah sebab terfikir juga mungkin kerajaan tak mahu lakukan sebab ianya saya yang sarankan berulang-kali.

Pada saya, risiko dan keadaan Covid sekarang adalah jauh lebih tinggi berbanding masa PKP 2.0 dilaksanakan sebab:

  • jumlah kluster aktif sudah berganda lebih tinggi;
  • penularan dan kluster baru tidak lagi terbendung kepada pekerja-pekerja asing di sektor kilang dan tapak pembinaan dan ada di mana-mana.
  • PKP 3.0 juga dilaksanakan lagi longgar berbanding PKP 2.0 yang sudah separuh masak.
  • risiko varian baru lebih berbahaya merebak secara meluas.Sebab itu, saya minta kawan-kawan untuk lebih berjaga-jaga pada masa kini.

Jika tiada urusan penting, jangan keluar rumah.

Dan jika boleh dielakkan, cuba hadkan bilangan lawatan raya.

Berhubung dengan ini juga, saya amat risau dengan keadaan kewangan kerajaan sebab ekonomi yang lembab semasa darurat dan PKP yang tak habis-habis (yang sebenarnya boleh dielak) akan memberi impak besar kepada hasil kerajaan pada ketika lebih banyak bantuan boleh diberi.

Ianya adalah kerja paling mudah sekali untuk pinjam berkali-kali atau korek aset/tabung sedia anda untuk kerajaan membantu rakyat dan mengaku prihatin.

Jika keadaan Covid boleh dikawal dengan PKP yang amat ketat dan singkat, Rakyat boleh kembali bernafas, bekerja dan berniaga secepat mungin.

Maka PKP tidak perlu berpanjangan serta diulang-ulang dan kerajaan boleh elakkan keperluan bederet-deret pakej-pakej bantuan baru yang menambah lebih bebanan fiskal ke atas kerajaan.

Saya juga diberitahu bahawa semakin banyak projek-projek kerajaan telah diberikan secara rundingan terus sejak Darurat dilaksanakan dan akhirnya defisit kerajaan menjadi paling tinggi dalam sejarah pada suku pertama tahun 2021.

Jumlah beban ini bukan sedikit. Lebih RM200 bilion hutang baru telah ditambah sejak tahun lalu.

Belum masuk lagi rizab-rizab serta tabung sedia ada yang dikikis.

Tetapi akhirnya, Rakyat yang akan menanggung pada masa depan dengan pelbagai potongan bajet atau cukai-cukai baru.

Sebab itu, saya amat sensitif dengan pinjaman baru – sama ada secara terus oleh kerajaan atau diperingkat badan kerajaan seperti Khazanah dan Petronas.

Tapi nasi sudah jadi bubur dan kerajaan dan Rakyat masa depan akan perlu tanggung hakikat ini.

Walaupun saya bukan PM atau presiden parti politik lagi, saya masih sayang pada negara tercinta serta Rakyatku.

Sebab itu saya tak dapat elak dari memikir perkara-perkara tersebut ketika ini.


*Pandangan yang dikemukakan merupakan pandangan penulis

Catatan ini pertama kali muncul di Facebook Najib Razak