Hannah: Kerajaan takut hilang kuasa, Rakyat jadi sengsara #ms

Hannah Yeoh: possible sex education outside schools to fight baby dumping |  The Star
Gambar: The Star

Oleh Hannah Yeoh

Biar Kerajaan Tewas, Jangan Biar Rakyat Tumpas – Kerajaan takut hilang kuasa, Rakyat jadi sengsara.

Pengumuman Total Lockdown Mesti Bersekali Dengan Bantuan Kepada RakyatKita hampir sahaja tidak dapat bertahan dengan perlaksanaan total lockdown selama 2 minggu namun Kerajaan mengumumkan lanjutan yang bertujuan untuk menurunkan kes positif Covid-19 yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan. Pengumuman total lockdown tanpa bersekali dengan bantuan kewangan adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada Kerajaan. Kita mahu Kerajaan tidak bersikap seperti warden penjara, meletakkan rakyat dalam penjara di rumah mereka, seakan menjatuhkan hukuman sedangkan kes Covid-19 yang meningkat disumbang oleh ketidakcekapan Kerajaan dan SOP yang mengelirukan, bercanggah dan tidak masuk akal. Berapa banyak kampit beras yang dapat kita terus berikan? Berapa banyak lagi bakul makanan untuk diedarkan dan berapa minggu lagi yang mampu kita lakukan? Ketika Ismail Sabri mengumumkan lanjutan total lockdown, rakyat Malaysia amat berharap mereka akan melihat Menteri Kewangan, Tengku Zafrul berdiri di samping beliau bagi mengumumkan bantuan kewangan segera yang boleh membantu rakyat Malaysia. Tetapi, ini tidak berlaku.

Bantu Perniagaan Kekalkan Pekerjaan

Beberapa hari yang lalu saya pergi ke sebuah pusat membeli-belah untuk membeli makanan dan memasuki sebuah kedai buah-buahan untuk membeli buah anggur. Ini adalah kali pertama saya melihat buah-buahan dijual dengan harga yang sangat murah kerana ia tidak lagi segar dan saya satu-satunya pelanggan yang berada di situ. Situasi tersebut sangat menyedihkan. Saya hanya terfikirkan mengenai stok mereka, sewa yang harus dibayar dan gaji pekerja mereka. Hari ini kita tidak lagi bercakap mengenai keuntungan atau pulangan modal. Kini kita hanya bercakap soal kelangsungan hidup. Tumpuan kita sekarang adalah bagaimana untuk mengelak lebih ramai orang hilang pekerjaan dan perniagaan tidak terjejas sehingga terpaksa menutup kedai. Kerajaan banyak memfokuskan kepada golongan B40 sahaja. Hampir tidak ada apa-apa untuk golongan M40 yang berada dalam industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Dan ketika kumpulan M40 ini kelemasan, golongan T20 juga tidak mampu untuk bernafas. Kerajaan hari ini cuma menjadi penonton, tidak proaktif dan hanya mahu tunggu dan lihat. PKS kini berada di peringkat terakhir mereka untuk meminta pertolongan.

Rakyat Tidak Perlukan Singkatan Nama Untuk Mengaburi Kelemahan

Sejak PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mengumumkan singkatan nama (perkataan atau frasa yang dipendekkan). Mereka mahu ia dilihat menarik tetapi sebenarnya kosong dan tidak mempunyai apa-apa makna di dalamnya. Kerajaan PN hari ini hanya belajar daripada pentadbiran Najib – menambah angka 1 dalam semua programnya. 1Malaysia, Pr1ma, BR1M dan PPA1M. Kerajaan hari ini cuma meniru tabiat yang sama dan melakukannya secara berlebihan. Kita perlu membuat carian di Google setiap kali membaca laporan berita mengenai pengumuman baharu – selain PKP, PKPD, PKPB, PKPP, terdapat juga BPR, PdPR, PICK, PPV, JKJAV, CITF, PIKAS dan SJR (malah ayat sekatan jalan raya juga telah dipendekkan). Kerajaan Perikatan Nasional ini tidak memberikan kita apa-apa selain singkatan nama yang telah dipendekkan untuk menutup kegagalan mereka dan kelemahan koordinasi dalam Kabinet serta antara Kementerian.

Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat minggu hadapan. Saya benar-benar berharap agar penderitaan rakyat akan berakhir dengan memendekkan tempoh pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional ini. PN – Be End adalah singkatan nama yang amat kita perlukan sekarang.

Hannah Yeoh

Ahli Parlimen Segambut

[Kenyataan Media Oleh Hannah Yeoh Bertarikh 13 Jun 2021]


*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

Catatan ini pertama kali muncul di laman Facebook Hannah Yeoh.